TUGASAN KUMPULAN

ESSEI AKADEMIK



GGGE2153 TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN

TUGASAN KUMPULAN :
ESEI AKADEMIK – KEPENTINGAN & KEKANGAN PENGGUNAAN ICT  DALAM PENDIDIKAN SERTA CADANGAN UNTUK MELAKSANAKAN DASAR ICT DI SEKOLAH
NAMA PENSYARAH :
ENCIK MD YUSOF BIN DAUD
NAMA AHLI KUMPULAN :
1)    SITI AISYAH FATIMAH BINTI ZAILANI (A143889)
2)    FARHANA BINTI CHE MUNI (A143871)
3)    NURUL ‘AQILAH BINTI MD HAPIDZ (A143887)

KEPENTINGAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN
Menurut kamus dewan edisi keempat, teknologi merujuk kepada aktiviti atau kajian yang menggunakan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan pendidikan. Teknologi juga bermaksud kaedah atau proses menangani sesuatu masalah teknikal. Teknologi berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran  maklumat secara elektronik melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.

Teknologi dalam pendidikan bukan lagi suatu isu yang baru untuk dibincangkan. Pengajaran berasaskan teknologi seperti komputer,  perisian dinamik bergrafik mahupun media teknologi maklumat sering digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Terdapat beberapa strategi pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru untuk mengaplikasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Antaranya menggunakan paparan multimedia, internet dan perisian interaktif yang kaya dengan teknologi terkini. Untuk memastikan teknologi digunakan di dalam kelas, maka guru perlu mempunyai persepsi dan kesediaan terhadap teknologi yang digunakan. Ini kerana persepsi guru terhadap teknologi maklumat memainkan peranan yang penting sebagai faktor yang menentukan keberkesanan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik (Yushau, 2006).

Dalam Pelan Rancangan Malaysia Kesembilan juga memberi perhatian terhadap kepentingan teknologi dalam pengajaran pendidikan, iaitu Kurikulum bagi latihan perguruan juga akan dikaji semula, antaranya untuk menambah baik kandungan mata pelajaran, meningkatkan kemahiran pedagogi dan membolehkan penggunaan ICT yang lebih meluas dalam bidang pendidikan. (RMK 9, 2006, p. 31)

Menyedari kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran. Antara usaha untuk membentuk satu proses pengajaran supaya pelajar memahami sesuatu konsep adalah dengan mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam bentuk yang boleh difahami oleh pelajar. Untuk menjadikan suasana pembelajaran lebih bermakna dengan mengintegrasikan teknologi di dalam pengajaran ini juga, guru perlu mempunyai kesediaan dan pengetahuan mengenai teknologi yang akan digunakan. Terutamanya memberi perhatian terhadap bagaimana dan bila teknologi dapat digunakan dengan berkesan di dalam kelas matematik (Powers & Blubaugh, 2005).

Penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar juga dapat menggalakkan pembelajaran secara penemuan dan bereksperimen. Tujuan  teknologi pengajaran ialah untuk mengubah dan memberi kesan terhadap pembelajaran. Pembelajaran adalah matlamat, manakala pengajaran adalah cara untuk mencapai matlamat ini. Guru harus memahami maksud pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju. pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju.

Selain mewujudkan pengajar yang kompeten, tumpuan utama teknologi pendidikan  ialah untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Pengajaran yang berkesan membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan. Pengajaran yang dirancang dengan teliti dan lengkap membantu mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat pelajar terhadap pengajar sekaligus membantu pembinaan disiplin yang positif.

Teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan P&P oleh guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang meyimpan beribu-ribu maklumat dan murid ibarat cakera keras (hard disk) tanpa memori yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini, seperti yang ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands on, kontekstual, konstruktivisme dan masteri, melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan berasaskan projek.

Pendekatan yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi. Alvin Toffler, seorang penulis yang terkenal dalam bidang revolusi digital pernah mengatakan, “The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.” (Buta huruf pada abad ke-21 bukanlah individu yang tidak boleh membaca dan menulis tetapi terdiri daripada individu yang tidak boleh belajar, belajar meninggalkan apa yang telah dipelajari dan belajar semula). Tuntutan kehidupan abad ke-21 memerlukan reaksi pantas manusia untuk berubah mengikut keadaan dan situasi agar tidak ditenggelami oleh tsunami teknologi.

Gaya pengajaran guru perlu seiring dengan gaya pembelajaran murid agar tidak P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, guru-guru perlu mengambil sikap yang terbuka dalam mengetahui dan mengenal pasti teknologi pendidikan berkesan yang menggabungjalinkan teori instruksional dan teori pembelajaran. Seperti seorang tukang rumah yang mempunyai peralatan seperti tukul, paku, tangga dan sebagainya, murid-murid perlu dibekalkan dengan pelbagai peralatan (teknologi) yang dapat membantu mereka belajar dengan cepat dan berkesan. Dengan wujudnya gabungan literasi maklumat dan teknologi pendidikan yang baik, pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan memberi impak yang besar dalam proses Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti yang menjadi misi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara peranan dan kepentingan lain teknologi pendidikan ialah untuk mengubah peringkat membuat keputusan, mengubah sistem atau pendekatan pembelajaran, dan mengubah pengalaman pembelajaran. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran banyak memberi kesan yang baik kepada murid-murid khususnya yang di sekolah rendah. Namun begitu terdapat juga kelemahan yang timbul kesan daripada penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Hal ini kerana guru dapat membuat persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara ini guru dapat mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik seterusnya dapat menyampaikan kepada pelajar secara berkesan. Melalui penggunaan alat ICT sebagai alat bantu mengajar maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dan berkesan contohnya menggunakan alat seperti power point, flash, video, visual dan mereka hanya perlu mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Melalui cara ini proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk di fahami. Justeru itu pelajar tidak akan mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran kerana tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui ICT.

Di samping itu kesan penggunaan ICT ialah dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Dengan adanya ICT guru dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu kepada teknik pengkuliahan sahaja bahkan dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam ICT.

Melalui penggunaan alat ICT guru dapat menerangkan kepada pelajar dengan lebih terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek. Contohnya penggunaan internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai dunia pendidikan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan guru dan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat di gunakan dalam aktiviti pembelajaran. Melalui cara ini kualiti pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan kerana maklumat-maklumat dapat terus di akses ke dalam sistem.

Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran guru dan pelajar. Melalui penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya. Semua benda yang berkenaan dengan ICT mempunyai berbagai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran disekolah. Hal ini kerana melalui penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan lebih menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu dalam memahami setiap subjek yang dipelajari serta menyimpan, memproses dan merekod setiap maklumat yang diperoleh.

Kemahiran dalam menggunakan ICT ini mampu memberi nilai tambah kepada guru agar dapat menggunakannya untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar agar ianya mudah untuk di fahami. Di samping itu guru juga dapat menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT melalui pengalaman yang diperoleh semasa menjalankan proses pengajaran tersebut. Ini kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan saling berinteraksi tentang apa yang dipelajari serta bertukar pendapat mengenai keberkesanan menggunakan sistem ICT ini di samping memberi cadangan bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian. Melalui cara ini guru dan pelajar akan berusaha lagi menambahkan pengetahuan mengenai teknologi ICT ini. Dalam era dunia tanpa sempadan ini guru dan pelajar perlu menggunakan setiap teknologi yang ada agar tidak ketinggalan khususnya di dalam bidang pendidikan yang banyak menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan yang mendalam mengenai ICT amat penting bagi guru agar ianya dapat di aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan lagi pemahaman murid.

Selain itu manfaat yang diperoleh kesan daripada penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Di dalam sesebuah kelas tidak semua pelajar mempunyai kebolehan yang sama dalam menerima sesuatu yang diajar oleh guru. Justeru itu melalui penggunaan ICT murid-murid dapat memahami apa yang diajar dengan lebih jelas kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik serta berkesan hasil daripada penggunaan alatan ICT tersebut. Contohnya melalui penggunaan alat seperti power point, grafik, audio, video dan sebagainya maka murid-murid akan lebih memahami setiap apa yang di ajar kerana di beri gambaran dan persembahan dan persembahan yang lebih mudah untuk difahami berbanding dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk pengkuliahan. Melalui cara ini setiap masalah yang timbul dapat segera dimaklumkan oleh pelajar kepada guru kerana mereka mudah bertindak balas terhadap sistem yang diajar menggunakan ICT.

Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu pembelajaran mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia. Senario ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan dengan sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran di sekolah yang memenuhi Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara menjawab soalan peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu sukatan pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh guru-guru  cemerlang yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini akan sedikit sebanyak membantu para murid dalam meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah. Hal ini juga akan dapat membuatkan seseorang murid itu dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik lantas membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang.



KEKANGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN

            Secara umumnya, dasar ICT dalam pendidikan telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin pada 12 Oktober 2011. Antara asasnya adalah untuk pembangunan modal insan secara berterusan, penggunaan teknologi ICT yang bersesuaian dalam pendidikan, serta transformasi proses pendidikan melalui teknologi. Meskipun begitu, asas-asas tersebut masih belum dapat dicapai sepenuhnya kerana menurut Harison Bakar (2008), pada tahun 2003, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan komputer riba sebagai alat teknologi bagi memudahkan guru dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris namun demikian, dalam tinjauan yang dijalankan pada bulan Mac hingga Mei 2007, didapati ramai guru yang masih belum mengaplikasikan alat canggih tersebut secara optimum.

            Selain itu, menurut Md. Nor Bakar & Rashita A. Hadi dalam Journal of Science and Mathematics Educational, Volume 2 pada Jun 2011, satu rekod penyelenggaraan yang dijalankan di sebuah sekolah menunjukkan rekod penggunaan pada tahap yang rendah. Hal ini secara tidak langsung memperlihatkan kepada kita bahawasanya penggunaan teknologi dalam pendidikan di negara kita masih belum dapat diimplementasikan secara total, terutamanya dalam kalangan guru. Ini disokong oleh Rosnaini Mahmud, Mohd Arif Hj. Ismail & Jalalludin Ibrahim dalam Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia 2011 yang menjalankan kajian berkaitan penggunaan ICT dalam kalangan guru di sekolah menunjukkan tahap yang rendah. Kita dapat memahami mengapa terjadinya perkara ini kerana di sesebuah sekolah, bukan semua guru yang ada merupakan ‘fresh graduate’ yang kebanyakannya sudah biasa dengan penggunaan gajet-gajet yang sedia ada pada kini. Tidak dapat kita nafikan, guru-guru senior masih selesa dengan penggunaan cara manual untuk sesi PDP dan untuk melakukan perubahan bagi sesuatu budaya memakan masa yang agak lama kerana bukan semua guru bersedia untuk berubah dek lebih selesa dengan sesuatu yang mereka biasa.

            Dalam Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia Bilangan 2, Nombor 1, Mac 2012, ada menyatakan walaupun ICT telah diperakui mempunyai pelbagai kelebihan, namun tahap penerimaan pengguna khususnya guru terhadap inovasi tersebut didapati masih berbeza-beza. Sebagai contoh, dalam beberapa kajian yang dijalankan, didapati tahap pengintegrasian ICT berada pada tahap yang sederhana (Jalalludin Ibrahim, 2008; Sazliza Mat Isa, 2008). Manakala beberapa kajian yang lain menunjukkan tahap pengintegrasian ICT yang masih lagi rendah (Rosnaini Mahmud & Mohd Arif Ismail, 2008; Fariza Khalid, 2007; Azwan Ahmad et al, 2003). Hal ini dapat dibuktikan melalui penyataan dalam Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia Bilangan 2, Nombor 1, Mac 2012, iaitu melalui bacaan yang direkodkan oleh setiap projektor LCD, purata setiap projektor LCD ini beroperasi hanyalah selama 29 jam dalam jangka masa dua tahun yang boleh dikatakan sangat rendah (MHS, 2005). Namun begitu, kita semua juga sedia maklum yang tidak semua sekolah dapat dilengkapi dengan kemudahan seperti projektor LCD dan juga makmal-makmal komputer untuk kegunaan warga sekolah. Misalnya, di sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak, masih terdapat sekolah yang tiada bekalan air dan elektrik. Kekangan-kekangan seperti ini membuatkan dasar ICT yang diperkenalkan sebelum ini terbantut pelaksanaannya secara total. 

            Seterusnya, isu yang ingin dibangkitkan bagi kekangan pelaksanaan ICT dalam pendidikan di negara kita adalah faktor masa. Kesuntukan masa menggunakan ICT oleh guru-guru menjadi penghalang manakala sikap positif, keyakinan diri, dan kemahiran menggunakan ICT menjadi pendorong pelaksanaannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP), (IAB, 2008). Contohnya, masa bagi satu-satu mata pelajaran seperti Matematik atau Sains adalah singkat dan terhad, 40 minit bagi satu sesi. Jika guru-guru ingin mengguna pakai ICT untuk mengajar, ia memerlukan persediaan yang memakan masa paling kurang 5 minit, sebelum dan selepas pengajaran. Itu belum lagu termasuk masa yang akan terbazir sekiranya terdapat apa-apa masalah yang timbul dengan alat-alat elektronik yang ingin digunakan. Tambahan pula, guru-guru sangat mementingkan penggunaan masa yang optimum bagi setiap sesi kerana mereka perlu mengejar silibus mata pelajaran yang diajar, terutama sekali bagi kelas-kelas peperiksaan. Hal ini amatlah dititik beratkan agar para pelajar dapat mengulang kaji pelajaran pada masa yang ditetapkan. 

            Kemudian, permasalahan yang timbul adalah masalah perisian kursus yang dibekalkan. Perisian kursus yang dibekalkan oleh KPM adalah terhad dan tiada kepelbagaian aras kebolehan pelajar. Hal ini adalah berikutan perisian yang dibekalkan adalah untuk aras kefahaman sahaja dan tiada penambahbaikan untuk kegunaan pelajar. Menurut Harison Bakar (2008), penggunaan ‘chalk & talk’ dianggap lebih berkesan oleh sesetengah guru kerana kandungan CD yang dibekalkan oleh KPM adalah amat ringkas. Dalam kajian yang dijalankan, antara pendapat guru ialah, pengajaran secara ‘chalk & talk’ lebih memuaskan hati kerana berlakunya perhubungan secara dua hala, kandungan perisian tidak mengikut format peperiksaan, serta perisian kursus hanya sesuai untuk pelajar yang lemah semata-mata.    
    
            Kemudian, sistem pendidikan di negara kita juga amat berorientasikan peperiksaan. Penekanan berlebihan kepada peperiksaan membuatkan bukan sahaja para pelajar, malah warga sekolah yang lain terutamanya guru berasa tertekan dan terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus pelajaran. Guru juga perlu memantau buku-buku latihan dari semasa ke semasa agar tahap kefahaman mereka dapat diketahui oleh guru agar mereka yang lemah dapat dibantu daripada terus tercicir. Kebanyakan guru lebih selesa menggunakan kaedah biasa yang dianggap cepat, berkesan, dan mempunyai bukti kerana jika kaedah yang baru diguna pakai, belum tentu akan menjanjikan peningkatan dalam pelajaran para pelajar masing-masing. Sebenarnya, penekanan kepada peperiksaan mewujudkan beberapa fenomena yang berikut, iaitu guru mengajar dengan kaedah yang biasa sahaja, mengajar dan belajar hanyalah semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan, guru menghabiskan sukatan seberapa segera, serta suasana pembelajaran yang lumpuh yakni selalunya sesi pengajaran hanya berpusatkan guru sahaja. Menurut Toh (2003), penekanan kepada peperiksaan terutamanya peperiksaan piawai bagi keseluruhan pelajar pada akhir tahun KBSR dan KBSM menyebabkan guru lebih cenderung untuk melaksanakan proses pengajaran yang berpusatkan guru kerana kaedah ini terbukti lebih berkesan untuk menghasilkan pelajar yang akan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Guru yang berjaya menghasilkan bilangan pelajar yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan biasanya akan dilihat sebagai guru yang berkesan. 
            Tambahan pula, sikap pentadbir juga memainkan peranan yang penting dalam pengimplementasian ICT di sekolah. Menurut Mohd Izham & Norazah (2007), mereka berpendapat bahawa segala perubahan sekolah terutamanya tentang pelaksanaan ICT di sekolah perlu bermula daripada keprihatinan dan tindakan pentadbir sekolah itu sendiri iaitu pentadbir selaku pemimpin sekolah perlu merangka dan merancang segala perubahan budaya positif dan teknologi yang berasaskan ICT di sekolah. Antara peranan pentadbir untuk menjayakan dasar ICT di sekolah adalah, mereka perlu menyediakan prasarana yang sesuai dan lengkap untuk kegunaan warga sekolah seperti komputer dan projektor LCD. Namun, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil oleh pihak pentadbir seperti mengunci komputer dengan baik agar tidak dicuri oleh pihak yang bertanggungjawab dan kemudahan yang disediakan dapat digunakan untuk suatu tempoh yang lama. Sering kali terjadi sesi pengajaran yang menggunakan komputer terbantut apabila komputer yang disediakan kurang lengkap seperti tiada tetikus dan monitor dek hilang kerana kecurian. Selain itu, pentadbir juga perlu menyediakan latihan kemahiran, baik kepada pelajar mahupun guru, tanpa mengira umur. Guru-guru senior sebenarnya mempunyai pelbagai idea, yang mana jika kita menggunakan kaedah ICT berkemungkinan akan lebih menarik dan memudahkan para pelajar untuk memahami sesuatu topik. Malah, pasti akan lebih meringankan beban guru. Sayangnya, mungkin kerana kurang kemahiran untuk mengguna pakai kemudahan alat elektronik yang sedia ada, mereka hanya mengulang cara yang sama, iaitu secara manual. Para pelajar yang pelbagai memerlukan seseorang guru itu mempelbagaikan caranya mengajar dan menjadi kreatif. Kaedah pengajaran yang menarik akan mengelakkan para pelajar daripada berasa bosan semasa berada dalam kelas dan membantu mereka untuk kekal fokus. 

            Malah, pihak pentadbir juga perlu peka terhadap masalah penyelenggaraan komputer. Sering kali terjadi komputer yang rosak terus tidak dapat digunakan kerana tiada inisiatif daripada pihak pentadbir untuk membaik pulih komputer atau prasarana seperti LCD projektor. Alat-alat elektronik seperti itu sewajarnya diselenggara secara berkala dan dibekalkan dengan perisian yang bermutu serta berkualiti supaya banyak pihak membuka mata bahawasanya kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyerapkan budaya ICT dalam sekolah di Malaysia. Pentadbir sekolah juga perlu turut serta dalam pemilihan pembekal alat-alat elektronik ke sekolah. Mendapatkan alatan yang berkualiti dan bermutu merupakan hak pengguna dan hal ini diaplikasikan dalam pemilihan alatan yang dibekalkan di sekolah kerana sekiranya alatan yang dibekalkan tidak elok keadaannya, ia kan membuang masa banyak pihak untuk menukar kembali alatan yang diterima. Maka, proses PDP yang mengguna pakai alatan elektronik tak dapat diadakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. 

            Beralih kepada isu yang seterusnya, dasar ICT masih kurang berjaya dilaksanakan adalah berikutan terdapatnya jurang digital. Apakah yang dimaksudkan dengan jurang digital? Jurang digital bermaksud terdapatnya jurang antara satu komuniti dengan komuniti yang lain dalam akses kepada ICT, pencapaian maklumat melalui ICT, serta memahami dan menggunakan maklumat daripada ICT. Terdapat empat faktor berlakunya jurang digital ini. Pertamanya adalah faktor ekonomi. Pihak sekolah kurang berkemampuan untuk membeli dan mendapatkan khidmat ICT yang bermutu. Kedua, faktor geografi. Sekolah terbabit tidak mempunyai liputan internet dan bekalan elektrik yang membolehkan mereka menggunakan kemudahan ini. Ketiga, kemahiran komputer. Tidak ramai di sekolah itu yang mengetahui bagaimana untuk mengakses maklumat menggunakan cara dan kaedah yang betul. Dan yang terakhir sekali, kemahiran bahasa dan literasi. Kebanyakan warga sekolah tidak dapat membaca dan memahami bahasa internet dengan baik dan hal ini sekali gus membuatkan mereka berasa malas untuk meneroka dunia baru. 

            Tambahan pula, penyalahgunaan internet juga merupakan salah satu kekangan bagi kerajaan untuk melaksanakan dasar ICT ini. Internet boleh dikatakan sebagai sumber rujukan utama dalam mengetahui tentang isu-isu semasa tempatan dan juga luar negara, bak kata pepatah ‘dunia kini di hujung jari’. Internet ini juga merupakan medium hiburan utama bagi para remaja serta golongan dewasa. Malangnya, kemudahan internet ini disalah guna oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Internet yang sepatutnya menjadi medan untuk para pelajar berebut-rebut mencari ilmu pengetahuan, telah digunakan sebagai medium untuk melawat ke laman-laman web yang tidak bermoral seperti laman pornografi. Kini, hampir semua pelajar lebih pandai dan mahir dalam menggunakan gajet-gajet terkini. Mereka lebih bijak dalam meneroka dunia baru namun tidak semua daripada mereka menggunakannya ke arah kebaikan. Sekiranya tiada pemantauan daripada ibu bapa, guru, dan pihak berwajib, mereka akan terus menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak berfaedah. Hal ini secara tidak langsung membuatkan pihak kerajaan perlu mereka suatu sistem yang cekap dan ketat agar para pelajar tidak boleh memasuki laman-laman web yang tidak senonoh tersebut. Sekiranya kelas diadakan di makmal-makmal komputer, guru mestilah memainkan peranan dengan baik. Mereka perlu memantau setiap komputer yang digunakan oleh pelajar agar mereka tidak melakukan apa-apa aktiviti yang di luar batasan. 

Maka, sejarah atau ‘history’ setiap laman web yang dikunjungi oleh pelajar mestilah diperiksa setiap kali tamat satu-satu sesi PDP agar para pelajar sedar akan pantauan yang dilakukan oleh guru sekali gus membuatkan mereka berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara yang akan memudaratkan diri sendiri serta memalukan keluarga. Guru perlu bersikap lebih agresif apabila melibatkan perkara-perkara yang sebegini kerana jika permasalahan seperti ini tidak dibendung sedari awal, kemungkinan besar mereka akan menjadikan kunjungan ke laman-laman web pornografi sebagai satu rutin. kelas yang diadakan di makmal komputer dijadikan sebagai satu peluang keemasan bagi para pelajar seperti ini menjalankan kegiatan mereka memandangkan tidak semua pelajar bernasib baik untuk mempunyai sebuah komputer di rumah. Sekiranya dasar ICT ingin dilaksanakan, tindakan untuk menangani permasalahan yang sebegini haruslah dibincangkan secara serius dan mendalam.

CADANGAN UNTUK MELAKSANAKAN DASAR ICT DI SEKOLAH
Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan impak yang positif dan baik kepada pelbagai bidang perindustrian termasuklah juga dunia pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar (BBM) seperti komputer riba, projektor, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran dan berbagai-bagai bahan bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian, adalah satu keperluan bagi para pendidik untuk mempunyai kemahiran dalam menggunakan alat-alat elektronik seperti ini agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan serta dapat menarik hati para pelajar untuk belajar secara digital  sekali gus dapat membantu para pelajar mereka untuk mempunyai kebolehan menggunakan gajet-gejet ini. Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah, seiring dengan dasar ‘Pendidikan adalah untuk Semua’. Justeru, pihak pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan sentiasa berusaha dalam mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi maklumat adalah antara usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah serta sekolah menengah. 

Selain itu, antara cadangan yang boleh diketengahkan untuk melaksanakan dasar ICT di sekolah-sekolah adalah dengan membenarkan murid yang mengikuti program Pemulihan Khas turut menggunakan ICT dalam sesi PDP mereka. Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap murid yang mengikuti program tersebut merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Menurut Koh Boh Boon (1982), beliau menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana ia bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini melibatkan murid-murid yang lambat, iaitu mereka yang lembap atau lambat dalam mencapai matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, ICT digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh murid-murid yang lain, khususnya yang sebaya dengan mereka. 

Tambahan pula, kurikulum bagi melahirkan guru hendaklah lebih mengutamakan teknologi instruktional berbanding pedagogi. Dalam melihat perkembangan positif yang berlaku dalam sistem pendidikan kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada tenaga pendidik kini telah bersedia dalam mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, kajian yang dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru. Kajian beliau mendapati bahawa masih terdapat lagi dalam kalangan tenaga pendidik yang masih tidak tahu menggunakan cakera padat interaktif (salah satu bahan bantu mengajar dalam pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Daripada kajian beliau, terdapat sebanyak 42 peratus guru tersebut yang mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan cakera padat yang rendah. Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya tahu meneroka dan menilai cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada hasil kajian yang dijalankan oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan pengaplikasian cakera padat pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan daripada pendidik ini hanya menggunakan buku teks sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka. 

Seterusnya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hendaklah menyediakan peruntukan yang sesuai untuk menyediakan teknologi komputer terkini di semua sekolah, termasuklah yang di pedalaman dan di luar bandar agar tiada pelajar yang tercicir daripada mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Hal ini adalah berikutan penggunaan ICT sebagai alat serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Pihak KPM boleh mengambil peluang ini untuk mengesyorkan kepada pihak sekolah dan guru untuk mengambil kesempatan daripada keupayaan ini untuk menjalankan kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza untuk menghantar, menerima, dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio, video, serta animasi. ICT dalam PDP merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan antara pemimpin sekolah, guru, pelajar, serta semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut pembelajaran yang mereka minati dan gemari. Di samping itu, teknologi maklumat dan internet juga secara tidak langsung menyediakan kebolehan interaksi. 

Kesimpulannya, kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat dan generasi yang berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada masa akan datang. Walaupun terdapat pendapat yang mengatakan bahawasanya penggunaan komputer pada peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu berikutan daripada ketidak sediaan para pelajar dalam menerimanya, namun pandangan seperti ini perlu diperbetul agar semua pihak termasuklah ibu bapa, penjaga, guru, dan masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan kemahiran ini pada masa akan datang.

Adalah menjadi tanggungjawab institusi-institusi pendidikan untuk bukan sahaja mengajar, malah mendidik para pelajarnya untuk menjadi pelapis yang dapat benar-benar bersedia untuk mentadbir dan menguruskan selok-belok hal negara dengan baik pada masa yang akan datang. Oleh yang demikian, pendidikan ini perlu dilaksanakan secara berterusan sedari peringkat awal perkembangan awal kanak-kanak. Penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran adalah sesuatu yang perlu bagi menarik minat kanak-kanak ini untuk terus menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan segala halangan yang boleh membantutkan niat mereka untuk menuntut ilmu. Bak kata pepatah, ‘menuntut ilmu biarlah sampai hingga ke negeri China’.


RUJUKAN
1.      http://www.slideshare.net/isuict12/isuict-presentation-kumpulan-12-12989330 (5.45 petang, 15 Disember 2014).
2.      http://ictchungkonglan.blogspot.com/2012/11/penggunaan-ict-dalam-pembelajaran.html
(12.01 pagi, 16 Disember 2014).


VIDEO KUMPULAN (NILAI-NILAI MURNI)

No comments:

Post a Comment